Budak 11 tahun dipercayai dibunuh ibu
Rumah lokasi kejadian budak dipercayai dibunuh ibu di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
DUNIAPOTRET.COM | BATU PAHAT, Seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng semalam, dipercayai dibunuh oleh ibunya.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa didapati mempunyai luka di dahi dan kesan jerut di bahagian leher dalam kejadian jam 4.55 petang itu.
"Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan lain pada badan mangsa. Keterangan saksi sudah diambil untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kamarul Zaman berkata, seorang wanita berumur 34 tahun iaitu ibu mangsa ditahan untuk siasatan lanjut.
"Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan kita mendapat perintah reman tujuh hari sehingga 21 Julai ini," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : BHonline (bhnews@bh.com.my)
Post a Comment for "Budak 11 tahun dipercayai dibunuh ibu"